Searching...
Thursday, February 20, 2014
8:06 PM 0

17 tahun guna MyKad palsu

Putrajaya: Penguat kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya menahan seorang lelaki warga Filipina yang menggunakan MyKad palsu sejak 17 tahun lalu, di satu kawasan penempatan di Bandar Country Homes, Rawang awal pagi semalam.
Lelaki berkenaan diberkas dalam satu serbuan Ops ID dijalankan sepasukan 13 penguat kuasa JPN Putrajaya selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaannya Wan Zakaria Wan Awang berkata, dalam operasi sama, seorang lagi pekerja warga Filipina turut diberkas kerana memiliki resit kad pengenalan sementara palsu.
Beliau berkata, kedua-dua mereka didapati melanggar kesalahan di bawah Peraturan 25 (1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 Pindaan 2007 yang boleh membawa hukuman tiga bulan tidak melebihi tiga tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-dua sekali jika didapati bersalah.
“Serbuan itu dilakukan selepas kami menerima maklumat daripada penduduk setempat yang mendakwa wujud pekerja asing di beberapa projek perumahan di kawasan itu yang menggunakan MyKad palsu.
“Siasatan awal mendapati, seorang daripada mereka didapati menggunakan MyKad palsu itu sejak tahun 1997,” katanya, semalam.
Katanya, operasi sama turut memeriksa 30 pekerja asing bagi mengesan kes penyalahgunaan MyKad palsu.
Wan Zakaria berkata, kedua-dua mereka dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi semalam sebelum dijatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan.

Sementara itu, dalam operasi kedua di Flat Pelangi, Damansara, pasukan sama menahan dua warga Indonesia masing-masing seorang lelaki dan wanita selepas didapati menggunakan MyKad milik orang lain dan Mykad palsu.
Wan Zakaria berkata, kedua-dua mereka ditahan di sebuah rumah di flat berkenaan dan mendapati mereka melanggar kesalahan di bawah peraturan sama di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Kami juga memeriksa lebih 10 pekerja asing yang menetap di flat sama, “ katanya.
Katanya, kedua-dua warga Indonesia itu turut dihadapkan ke mahkamah sama sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 hari.

SUMBER: METRO HARIAN

0 comments:

Post a Comment