“Saya hanya merasakan mereka akan didapati bersalah dan dipenjarakan,” kata anak lelaki pasangan Malaysia di Sweden yang dibicarakan kerana didakwa memukul anak-anak mereka.
Ketika ditanya apa yang difikirkan Ammar, 12, mengenai masa hadapan, dia berkata ibu bapanya seperti akan dipenjarakan sebelum dia dapat bertemu mereka.
Namun, apabila anggota polis wanita Sweden bertanya apa yang difikirkan mengenai masa depannya, Ammar berkata, apa yang dia boleh fikir adalah memeluk kedua-dua ibu bapanya semula.
“Mereka akan masuk ke dalam penjara, saya tidak tahu untuk berapa hari atau bulan. Apabila mereka dibebaskan, saya boleh bertemu mereka semula,” kata Ammar menerusi temuduga yang direkodkan lebih awal yang dipertontonkan di mahkamah daerah Solna di sini.
Azizul Raheem Awalluddin, seorang pengarah Tourism Malaysia di Stockholm dan isterinya, Shalwati Nurshal ditahan pada 18 Disember tahun lalu selepas Ammar memberitahu kakitangan di sekolahnya bahawa dia dipukul, menyebabkan mereka membuat laporan mengenainya kepada pihak berkuasa.
Memasuki hari keempat perbicaraan, Azizul dilihat memakai jaket baharu berwarna hitam dan tali leher biru, manakala Shalwati memakai jaket berwarna kelabu bersama dengan baju kurung.
Walaupun Shalwati dilihat sentiasa menulis nota pada minggu lepas, ibu kepada anak orang anak itu kini memberi tumpuan kepada video yang dipertontonkan sejak Isnin lalu.
Dalam temubual yang direkodkan itu, Ammar mengakui dia jarang dipukul oleh ibunya dengan rotan, ‘mungkin dua kali sebulan’.
Dia berkata, bapanya kadang kala menggunakan rotan ketika kelas al-Quran, tetapi tidak pernah benar-benar menggunakannya.
Ketika ditanya bila Ammar teringat saat dia pernah dirotan oleh bapanya, kanak-kanak berusia 12 tahun itu berkata, ketika dia mencuri kad kredit ibunya untuk membeli permainan video.
“Saya meminta ibu untuk membelikan alat permainan itu beberapa kali tetapi dia enggan. Jadi saya bertindak mengambil kad kreditnya dan membeli permainan itu sendiri,” kata Ammar.
Namun, Shalwati mengetahui perkara itu, menyebabkan Azizul bertindak memukul anaknya sebagai hukuman.
Ammar berkata, hukuman itu kekal diingatannya kerana dia merasakan bapanya lebih mementingkan wang berbanding dirinya.
“Saya melihat bapa benar-benar marah pada ketika itu,” kata Ammar.
Ini bukan kali pertama Ammar memberitahu bahawa adik-beradiknya yang lain turut dipukul kerana mencuri.
Ammar sebelum ini berkata, kakaknya Aishah turut dipukul beberapa kali kerana mencuri wang dan coklat.
Pada 10 Februari, Shalwati dan Azizul didakwa di atas tuduhan pencabulan integriti kanak-kanak dengan memukul dan mendera anak-anak mereka.
Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan itu dirumah mereka di Spanga, Stockholm antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.
Perbicaraan bersambung pada Selasa.
0 comments:
Post a Comment