Georgetown: Orang ramai diminta menghulurkan bantuan untuk menampung kos rawatan susulan dan pembedahan bagi dua bayi yang disahkan menghidap penyakit jantung sejak dilahirkan.
Wan Razi Wan Othman, 27, dari Karangan, Kedah, berkata, doktor mengesahkan anak sulungnya, Wan Azyyati Wan Razi, berusia sembilan hari, mengalami masalah jantung sehari selepas dilahirkan dan bayi berkenaan kini terpaksa menjalani rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Katanya, dia dan isterinya, Nuraqilah Yusuf, 26, bekerja sebagai operator pengeluaran masing-masing berpendapatan RM1,200 sebulan tidak mampu menanggung kos pembedahan berkenaan.
WAN Razi dan Nuraqilah menunjukkan gambar Wan Azyyati yang terlantar di hospital.
“Wan Azyyati akan dipindahkan ke Pusat Perubatan Gleneagles esok (hari ini) bagi menerima rawatan susulan di sana sebelum menjalani pembedahan dijadualkan pada 21 Februari ini.
“Saya hanya mahu lihat Wan Azyyati sihat seperti bayi lain kerana kami tidak sanggup melihat kesakitan yang dialaminya berikutan masih kecil,” katanya di Pusat Perubatan Gleneagles, semalam.
Sementara itu, Nur Azmina Ismail, 21, dari Tanah Merah, Kelantan berkata, anaknya Ahmad Qayyum Abdullah, lapan bulan, menghidap penyakit jantung berlubang memerlukan wang berjumlah RM50,000 bagi menampung kos rawatan bayi lelaki berkenaan.
Nur Azmina berkata, dia dan suaminya tidak bekerja berikutan kesusahan hidup dan hanya mendapat pendidikan di sekolah rendah.
“Sejak September lalu, Hospital Kota Bharu sudah menjadi ‘rumah kedua’ bagi Ahmad Qayyum menjalani pemeriksaan kesihatan serta pemantauan perkembangan tahap kesihatannya.
“Ahmad Qayyum terpaksa menjalani pembedahan segera hari ini,” katanya.
Sementara itu, Eksekutif Urusan Pesakit, Pusat Perubatan Gleneagles, Henry Cheah berkata, bayi malang itu menjalani pembedahan pertamanya dengan menggunakan sumbangan dari Tabung Amal The New Straits Times Press Malaysia Berhad (NSTP).
“Sumbangan orang ramai akan dikembalikan kepada tabung berkenaan bagi kegunaan kanak-kanak lain,” katanya Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghantar cek melalui tabung amal NSTP, Bahagian Kewangan/Unit Kebajikan, The New Straits Times Press (M) Bhd, Balai Berita, No 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur
SUMBER: METRO HARIAN
0 comments:
Post a Comment