Searching...
Wednesday, February 19, 2014
11:16 PM 0

Ibu terima keputusan DNA sahkan mayat anak

Johor Bahru: Selepas sebulan menunggu, penantian seorang ibu berakhir apabila hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) semalam mengesahkan mayat yang ditemui dalam semak di Taman Bukit Gemilang, Skudai di sini, pada 22 Januari lalu adalah mayat anaknya.
Laporan dikeluarkan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya mengesahkan mayat berkenaan ialah Sia Hla Saung, 15, anak kepada Nan Aye Swe, 37.
“Saya lega penantian ini sudah berakhir.
Walaupun sedih dengan kehilangan anak tetapi keputusan dikeluarkan polis membolehkan kami sekeluarga dapat menyempurnakan mayatnya.
“Memang sejak dipanggil polis untuk membuat pengecaman terhadap mayat itu, saya yakin bahawa ia memang mayat anak saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
Nan datang ke Jabatan Forensik bersama suaminya yang juga bapa tiri remaja terbabit, Liew Kehk Heo, 48, sambil ditemani Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA merangkap Pengerusi MCA Bahagian Gelang Patah Jason Teoh.
Foto
NAN (kanan) menunjukkan gambar Sai Hla Saung yang ditemui mati.
Menurut Nan, tekanan dirasainya kini terlerai dan keluarganya akan menumpukan kepada usaha menuntut mayat Sia untuk disemadikan.
“Selepas berbincang dengan pengurusan Jabatan Forensik hari ini (semalam), kami sekeluarga akan menuntut mayat anak esok (hari ini).
“Kami mahu selesaikan secepat mungkin, sudah lama ia tertangguh dan berharap anak dapat bersemadi dengan aman,” katanya.
Sia dilaporkan hilang dari rumahnya di Taman Sentosa, Skudai pada 11 Januari lalu sebelum satu mayat lengkap ditemui dalam kawasan semak di Taman Bukit Gemilang pada 22 Januari.
Mayat berkenaan ditemui orang awam di kawasan yang sering digunakan mangsa sebagai jalan pintas ke padang untuk bermain bola sepak tidak jauh dari rumahnya.
Ketua Polis Daerah Nusajaya Superintendan Noor Hashim Mohamad mengesahkan pihaknya sudah menyerahkan laporan ujian DNA kepada keluarga.
SUMBER: METRO HARIAN

0 comments:

Post a Comment