Searching...
Saturday, February 15, 2014
8:51 PM 0

Perompak ugut simbah asid

  • Perompak ugut simbah asid
 1 / 1 
KEMAMAN – “Menggigil badan saya lepas perompak itu ugut nak simbah asid jika saya enggan buka mesin wang,” kata juruwang di sebuah stesen minyak di Kerteh, Nor Salwani Marwan yang trauma setelah premis itu disamun petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang itu, seorang perompak yang pada awalnya berlakon sebagai pelanggan  dan sempat membeli air minuman berjaya melarikan wang tunai lebih RM1,000.

Sewaktu kejadian, semua pekerja lelaki tiada di stesen minyak kerana menunaikan Solat Jumaat di masjid berdekatan dan hanya dua pekerja wanita sedang bekerja.

Nor Salwani berkata, gerak geri lelaki berusia lingkungan 30-an yang datang ke stesen minyak keseorangan itu mencurigakan apabila masuk semula ke kedai selepas membayar harga air minuman.

“Selepas kira-kira dua minit membeli minuman dan keluar dari kedai, suspek tiba-tiba masuk semula sambil membawa sebotol cecair yang didakwanya asid atau cuka getah.

“Dia meluru ke arah saya yang berada di kaunter juruwang dan memberi kata dua kepada saya, sama ada saya serahkan wang atau dia simbah asid,” katanya.

Ugutan keras itu menyebabkan mangsa tergamam serta menggeletar ketakutan dan terus menyerahkan sejumlah wang tunai  bernilai lebih RM1,000 kepada suspek.

Katanya, suspek kemudian terus melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal Yamaha 125Z berwarna putih.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, mangsa yang terkejut dengan kejadian itu kemudiannya tampil membuat laporan di Balai Polis Kerteh kira-kira jam 4 petang.

Katanya, polis kini sedang melakukan siasatan rapi termasuk mengambil keterangan daripada  pekerja stesen minyak terbabit dan membuat pengecaman daripada CCTV bagi mengesan suspek.

SUMBER: Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment