Searching...
Friday, February 21, 2014
3:42 AM 0

Maut kena 7 das tembakan

Manjung: Seorang kontraktor yang juga bekas ketua DAP cawangan maut terkena tujuh das tembakan mengenai lengan, dada dan kemaluannya dalam kejadian di hadapan rumahnya di Kampung Jering, Ayer Tawar, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam, mangsa Wong Kong Ting, 56, diserang penjenayah bermotosikal sebaik sampai di rumahnya selepas keluar makan malam bersama beberapa rakannya. 
Foto
ANGGOTA polis menyiasat kejadian tembakan di rumah Wong (gambar kecil) yang maut, kelmarin.
Isteri mangsa hanya mahu dikenali Tan, 50-an, berkata, pada mulanya dia menyangka seseorang bermain mercun apabila mendengar bunyi beberapa letupan di hadapan rumahnya, namun terkejut sebaik terdengar jeritan suaminya. 

“Sebaik keluar untuk memeriksa, saya dapati suami terbaring berlumuran darah dan bergegas ke arahnya dan mendapatinya masih hidup.
“Saya kemudian meminta tolong ahli keluarga sebelum menghantarnya ke Hospital Manjung, malangnya dia gagal diselamatkan,” katanya.

Mangsa dirawat di Unit Kecemasan hospital dilaporkan maut 50 minit kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim, ditubuhkan bagi menyiasat kes berkenaan secara terperinci.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia kerana kehilangan darah yang banyak akibat cedera daripada tembakan di beberapa bahagian tubuh termasuk tangan dan dada.

“Siasatan awal menunjukkan suspek dipercayai menaiki motosikal sebelum berhenti di hadapan rumah mangsa dan melepaskan beberapa das tembakan. Polis masih menyiasat jumlah individu yang terbabit dalam kejadian itu dan mengenal pasti motif di sebalik pembunuhan ini,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat di talian 019-5753207 atau 05-6899922.
SUMBER: METRO HARIAN

0 comments:

Post a Comment