Searching...
Saturday, February 22, 2014
11:51 PM 0

Polis sahkan daging babi depan masjid

GEORGETOWN - Polis mengesahkan seketul daging yang ditemui di pekarangan Masjid Cherok Tokun, Machang Bubuk, Seberang Perai Tengah, adalah daging babi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pengesahan itu adalah berdasarkan laporan yang diterima dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

Polis sahkan daging babi depan masjid
Keratan Sinar Harian siaran 17 Februari lalu.

Beliau berkata, polis juga sudah merekodkan enam keterangan daripada orang kampung dan ahli jawatankuasa masjid.

“Dalam kes ini, polis tidak akan bertolak ansur dengan tindakan mana-mana individu cuba mencetus provokasi yang boleh menggugat perpaduan kaum.

“Polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menimbulkan suasana menggugat ketenteraman awam dan keharmonian rakyat berbilang kaum,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina, Polis Pulau Pinang.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu membencana atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.

Ahad lalu, daging babi itu ditemui oleh seorang pembantu imam  yang ingin menunaikan solat Subuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, daging berukuran sebesar dua tapak tangan dewasa itu ditemui lelaki berkenaan yang ingin memasuki ruang masjid.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu diminta menghubungi Rakan Cop di talian 04-2295900 atau mana-mana balai polis terdekat.


SUMBER

0 comments:

Post a Comment