Searching...
Thursday, February 20, 2014
10:45 PM 0

Tetak dendam

Balik Pulau: Akibat dendam lama, seorang pemilik kedai barangan lusuh terpaksa menanggung azab apabila pergelangan tangan kanannya hampir putus ditetak sekumpulan samseng dalam kejadian berhampiran sebuah kedai makan di Batu Maung, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa berusia 44 tahun turut cedera pada tangan kiri dan kakinya ketika cuba melawan serta mempertahankan diri daripada terus ditetak kira-kira 10 lelaki.
Menurut sumber, mangsa ketika itu bersama tiga lagi rakannya baru tiba di kedai makan berkenaan dengan menunggang motosikal.
“Ketika itu, mereka berada di tempat parkir motosikal berhampiran kedai makan berkenaan sebelum didatangi kumpulan samseng bersenjatakan parang yang terus menyerang mereka.
“Rakan mangsa melarikan diri dan hanya tinggal mangsa berseorangan.
Dia ditetak kumpulan samseng terbabit hampir lima minit sebelum mereka meninggalkannya dalam keadaan tidak bermaya,” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian dikejarkan ke sebuah hospital swasta dan kini dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan.

“Hasil keterangan, mangsa mendakwa kejadian itu mungkin disebabkan dendam kerana dia mempunyai perselisihan faham dengan satu kumpulan kongsi gelap sebulan lalu.
“Polis mengambil keterangan daripada rakan mangsa, namun mereka mendakwa tidak dapat mengecam wajah suspek kerana semua suspek memakai topi keledar berpenutup penuh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Lai Fah Hin berkata, susulan itu, polis menahan empat suspek dipercayai dapat membantu siasatan kes berkenaan.
“Semua suspek berusia 21 hingga 34 tahun kini ditahan untuk membantu siasatan dan polis merampas sebilah parang yang digunakan untuk menetak mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.
Foto
TANGAN mangsa yang hampir putus akibat ditetak kumpulan samseng.

SUMBER: METRO HARIAN

0 comments:

Post a Comment