Searching...
Sunday, February 23, 2014
3:58 PM 0

Wanita mati tinggal 7 anak

Kuala Terengganu: Hasrat seorang ibu kepada tujuh anak untuk membawa anaknya mengaji al-Quran tidak kesampaian apabila dia maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Pengadang Baru, kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.30 malam, mangsa, Norehidayu Baharuddin, 28, menunggang motosikal Honda EX5 bersama anak keduanya, Rosyazwani Sharunizam, 11, dari rumahnya di Kampung Kedai Buluh, di sini, menuju ke Kampung Pengadang Baru.

Sebaik sampai di kampung berkenaan, mangsa dikatakan membuat pusingan U berhampiran lampu isyarat menyebabkan seorang pemandu kereta Toyota Camry yang berusia 49 tahun tidak sempat membrek lalu merempuh kedua beranak itu hingga terjatuh.
Foto
MOTOSIKAL yang ditunggang Norehidayu remuk selepas terlibat kemalangan.
Bertambah malang, peniaga pisang goreng yang terjatuh itu dirempuh pula sebuah kereta PROTON Iswara yang dipandu seorang lelaki berusia 20-an hingga menyebabkan kecederaan serius di badan.

Mangsa yang parah kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Nur Zahirah (HSNZ), namun disahkan meninggal dunia jam 11.50 malam.

Ibu mangsa, Rohani Omar, 51, berkata, ketika kejadian dia berada di Besut untuk berjumpa dengan saudaranya dan terkejut selepas dimaklumkan kemalangan menimpa anaknya itu.
Menurutnya, sebaik menerima maklumat itu dia bersama ahli keluarga bergegas ke HSNZ dan ketika itu dia tidak tahu anaknya sudah meninggal dunia sehinggalah dimaklumkan kakitangan di hospital itu.

Bagaimanapun, katanya, cucunya yang turut terbabit dalam kemalangan itu selamat dan masih mendapat rawatan di HSNZ kerana kecederaan di kaki dan tangan.
“Saya sebak melihat keadaan tujuh cucu berusia dua hingga 13 tahun yang masih tidak tahu perkara sebenar mengenai kematian ibu mereka.

“Saya juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan pemergian Norehidayu kepada anak-anaknya yang masih tidak memahami erti kehilangan ibu kandung.

“Bagaimanapun, saya akan berusaha menjelaskan perkara ini apabila sampai masa sesuai kelak,” katanya.

0 comments:

Post a Comment